SOO YOUNG
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Lagu Don’t Let Me Go dari album baru SHINee mempunyai cerita menarik apabila ditulis dua anggotanya, Minho dan Key.

Minho berkata, dia dan Key menutup mata ketika kali pertama mendengar melodi awal lagu itu untuk membayangkan sesuatu bagi mendapat ilham menulis liriknya.

“Saya menggunakan imaginasi itu ketika menulis lirik,” katanya.

Jonghyun pula mendedahkan, dia menangis teresak-esak selepas mendengar lagu itu. Katanya, dia berhenti sekejap sewaktu menukar pakaian apabila mendengar lagu itu.

“Minho terkejut melihat saya menangis dan menyangka ada sesuatu yang buruk berlaku. Tapi saya katakan padanya, lagu itu terlalu sedih dan sangat berkesan ke hati,” katanya.

Lagu itu dipersembahkan SHINee buat kali pertama melalui satu persembahan Showcase pada 4 Oktober lalu sempena kemunculan semula mereka melalui album kelima, 1 of 1.

Melalui persembahan itu, mereka memperkenalkan satu demi satu lagu yang ada di dalam album termasuk Don’t Let Me Go.

Showcase itu turut dihoskan penyanyi dari kumpulan Girl’s Generation, Sooyoung. Katanya, dia sering mengikuti perkembangan kumpulan itu dan mendedahkan betapa SHINee turut memberi inspirasi kepada Girl’s Generation.

“Saya selalu menonton persembahan mereka di konsert SMTOWN. Mereka buatkan kami berfikir, kami patut buat persembahan seperti mereka.

“Kami sering berbual sesama sendiri yang SHINee menari seolah-olah itu adalah persembahan terakhir mereka,” katanya.

Susulan kenyataan Sooyoung, Minho akui Key sering mengingatkan ahli SHINee lain untuk melakukan yang terbaik pada setiap persembahan.

Katanya, Key sering berpesan mereka perlu meluahkan segala yang ada seolah-olah persembahan itu adalah terakhir buat mereka.

Walaupun SHINee muncul setahun selepas Girl’s Generation, Sooyoung akui mencemburui mereka terutama dari segi semangat dan tenaga dimiliki SHINee.

Selain baru saja muncul dengan album 1 of 1, SHINee turut melancarkan video muzik rasmi album sama menampilkan lima ahli kumpulan SHINee dengan imej Retro.

Media Korea Selatan turut melaporkan, video muzik itu turut dimeriahkan dengan ramai wanita yang menari bersama mereka.

SHINee mula muncul pada 2008 bawah pengurusan SM Entertainment melalui album mini Replay. Pada tahun sama, mereka muncul dengan album studio pertama, The SHINee World.

Album 1 of 1 dianggap album studio keenam untuk pasaran Korea dan keempat untuk pasaran album studio di Jepun.

Kumpulan itu juga dikenali atas usaha kebajikan dilakukan. Antaranya membantu kanak-kanak Afrika kurang bernasib baik.

Pada 2009, SHINee dan Girl’s Generation pernah mengambil bahagian dalam projek kendalian Persatuan Palang Merah Korea dan Komiti UNICEF Korea yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:04 AM