Lokasi penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Ayer Tawar menuju Kampung Baru Simpang Lima, Sitiawan, awal pagi tadi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Sitiawan: Penjenayah berusia 29 tahun mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Ayer Tawar,menuju Kampung Baru Simpang Lima, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.50 pagi itu, lelaki yang juga penjenayah paling dikehendaki itu dipercayai cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja dan berbalas tembakan dengan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sebelum berjaya ditembak mati.

Suspek difahamkan dikehendaki kerana kes cubaan membunuh selain mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter dan Facebook rasminya yang dikemaskini pagi tadi mengesahkan kejadian pada jam 3.50 pagi tadi itu berlaku di daerah Manjung.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan dijangka akan mengadakan sidang media mengenai kejadian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak kira-kira jam 1 tengah hari ini.

Sementara itu, mayat suspek sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 12:00 PM