ARNAUTOVIC (dua dari kiri) selamat maruah Austria yang ketinggalan dua kali.
Reuters

Vienna: Marko Arnautovic meledak dua gol buat Austria yang seri 2-2 ketika menentang Wales di dalam Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia di Vienna, awal pagi semalam.

Keputusan itu membolehkan kedua-dua pasukan mengumpul satu menang dan satu seri - keputusan sama yang diperoleh Ireland serta Serbia. Pilihan utama, Wales mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.

Wales hanya pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia sekali iaitu pada 1958 tetapi selepas aksi memukau di Euro, mereka dijangka tidak bermasalah untuk layak ke Russia.

Joe Allen memberikan pendahuluan pada pertengahan babak pertama tetapi rakan sepasukannya di Stoke City Arnautovic menyamakan kedudukan enam minit kemudian hasil hantaran David Alaba.

Wales kembali di depan menerusi jaringan sendiri Kevin Wimmer walaupun penjaga gol Robert Almer berjaya menampan bola rembatan pemain lawan sebelum itu.

Tiga minit selepas babak kedua bersambung, Arnautovic menyelamatkan pasukannya menerusi gol penyamaan akibat kesilapan pertahanan Wales.

Walaupun Almer digantikan akibat kecederaan, penggantinya Ramazan Ozcan tidak langsung diuji dan skuad kendalian pengurus Chris Coleman itu berhak gembira apabila membawa pulang satu mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:10 AM