Takaya (tengah) bersama kakitangan memotong riben pada majlis pelancaran kedai konsep SHARP ketiga di Taman Desa Tebrau.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sharp-Roxy Sales & Services Company (M) Sdn Bhd (SRSSC), pengedar peralatan SHARP di negara ini menyasarkan pembukaan 20 stor konsep pada tahun hadapan.

Pengarah Urusannya, Takaya Wakasumi berkata, sehingga kini terdapat 19 stor konsep SHARP di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pembukaan kedai ini dijalankan dengan kerjasama pengedar barangan SHARP dan kita menyasarkan pembukaan stor konsep ke-20 tahun depan dengan kos dianggarkan sebanyak RM2 juta,” katanya selepas majlis Perasmian Stor Konsep yang ketiga di Johor Bahru iaitu di Taman Desa Tebrau, semalam.

Beliau berkata, Asia Tenggara terutamanya Malaysia menjadi antara pasaran penting sekali gus pihaknya merancang untuk terus memperkukuhkan jenama itu di rantau ini sama ada menerusi jualan produk mahupun perkhidmatannya.

“SHARP sudah bertapak di negara ini sejak sekian lama, malah produk pembersih udara keluaran kami menguasai lebih 70 peratus pasaran di negara ini.

“Produk kami yang lain seperti peti sejuk dan televisyen turut menjadi pilihan pelanggan di negara ini. Oleh itu, kami menyasarkan untuk menambah dan membuka lebih banyak stor konsep pada tahun ini dan tahun depan dalam usaha melebarkan pasaran kami di Malaysia,” katanya.

Takaya berkata, stor konsep yang diwujudkan adalah bertanggungjawab untuk urusan promosi, jualan dan pemasaran bagi semua produk termasuk barangan elektronik, peralatan pengautomatan pejabat dan penyelesaian dokumen perniagaan.

Hadir sama, Pengurus Besar (Bahagian Jualan) SRSSC, SM Tok dan Penolong Pengurus Besar SRSSC, David Chang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:04 AM