PESERTA mendengar ceramah disampaikan penceramah jemputan.
Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi
rencana@hmetro.com.my


Dalam kesibukan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program keagamaan, ramai sering terlupa masih ada mualaf tidak diterapkan dakwah susulan selepas mereka menganut Islam.

Ini menyebabkan mutakhir ini mualaf termasuk masyarakat Islam mengabaikan hal berkaitan agama khususnya akidah dan solat. Paling dibimbangi ialah murtad.

Berikutan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Wilayah Persekutuan menganjurkan Kursus Pemantapan Akidah Mualaf India di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kursus itu menghimpunkan 60 Saudara Muslim berketurunan India dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sebahagian besar peserta memeluk Islam lebih dua tahun.

Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan Mohd Jogi Maruli berkata, kursus itu menjadi medan mengumpulkan Saudara Muslim di sekitar ibu negara dengan objektif memantapkan kefahaman peserta mengenai Islam.

“Selain memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan Saudara Muslim berbangsa India, kami juga menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih mendalam melalui penggunaan bahasa ibunda (Tamil) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman,” katanya.

Ia memberi pendedahan dan latihan secara teori dan praktikal mengenai akidah dan solat serta amalan kehidupan Islam seharian.

Ia bukan sahaja memupuk semangat ukhuwah peserta, malah berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti.

Menurut Mohd Jogi, tanpa disedari kita lebih berbangga dengan program berbentuk teori sedangkan ia kurang memberi impak kepada pendidikan mualaf, menyebabkan mereka tidak mampu menguasai ilmu agama serta bacaan dalam solat.

Program itu turut memberi kekuatan kepada mualaf menghadapi pelbagai masalah pada zaman kini dan membuka peluang kepada mereka untuk mengenali antara satu sama lain serta berkongsi pengalaman.

Program dimantapkan dengan ceramah bertajuk Akidah yang disampaikan Imam Besar Madrasah Noorul Muhammadiah Bangsar Muhamed Mubarak Abdul Lathif al-Hafiz.

Sementara itu, Pengerusi Biro Dakwah PERKIM Wilayah Persekutuan Amran Anbarasu Abdullah berkata, kebelakangan ini banyak kes mualaf yang baru melafazkan ikrar dua kalimah syahadah terabai menyebabkan mereka kembali ke agama asal.

Program itu antara platform memberi bimbingan kerohanian bersifat praktikal dan mudah dilaksanakan seperti Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Solat.

Amran yang juga Pengerusi Pertubuhan Mualaf Malaysia berkata, program itu antara inisiatif melahirkan Saudara Muslim bertakwa selain memperkukuh dan memantapkan minat peserta menuntut ilmu.

Peserta juga berpeluang mengenali PERKIM Wilayah Persekutuan dan fungsinya.

“PERKIM adalah organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi penyebaran dakwah Islamiah dan kerja kebajikan,” katanya.

Amran yang juga kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM Kebangsaan berkata, usaha dakwah itu penting bagi melahirkan peserta berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan dan bertanggungjawab.

Beliau turut menyarankan agar Saudara Muslim mengikuti kelas pengajian harian anjuran PERKIM secara percuma agar mereka dapat mendalami Islam yang dikendalikan guru bertauliah.

“Peserta juga perlu mengikuti kursus anjuran Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, badan bukan kerajaan bagi mempertingkatkan ilmu agama,” katanya selepas merasmikan kursus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:01 AM