FOTO ihsan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Padang Besar: Dua orang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis cedera di bahagian bibir dan gusi manakala seorang lagi patah tulang pipi selepas bergelut dan terjatuh ketika melakukan serbuan di sebuah pondok yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Beseri di sini, semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang menjalankan Ops Aduan 29/2016 bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar Kampung Abi Batas Paip dan Taman Beseri Paya yang bermula pada jam 11 malam semalam.

"Pegawai AADK yang berusia 24 dan 32 tahun itu cedera ketika cuba bergelut dalam usaha menahan beberapa orang penagih dadah yang cuba meloloskan diri dari pondok berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media kepada pemberita.

Kedua-dua pegawai itu kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Azizah berkata dalam serbuan itu seramai seramai empat remaja berusia antara 13 hingga 20 tahun temasuk dua di bawah umur ditahan kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dua daripada empat remaja berkenaan berusia 13 dan 14 tahun yang ditahan itu sudah tidak bersekolah dan bertindak sebagai 'tokan' dengan menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kalangan rakan-rakan.

Beliau berkata, itu adalah modus operandi terbaru €˜'tokan'€™ dadah yang menjadikan remaja sebagai pengedar kecil-kecilan.

"Selain itu juga, kedua-dua suspek turut menjadikan pondok kecil bersebelahan dengan rumah salah seorang dari mereka sebagai 'port' penagihan bersama-sama dengan rakan yang lain.

"€œKes ini cukup membimbangkan kerana pada usia yang masih mentah mereka ini telah terlibat dengan penagihan dadah sintetik (methamphetamine)," katanya lagi.

Kesemua ditahan dibawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Perlis Utara di Beseri untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 4:25 PM