PENYERANG negara, Meor Azuan Meor Hasan cuba memperdaya pertahanan Victorian Vikings dalam saingan Liga Hoki Australia (AHL).
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Perth: Skuad hoki lelaki negara mengakhiri saingan Kumpulan A Liga Hoki Australia (AHL) dengan tumpas kepada Victorian Vikings 1-4 di Stadium Hoki Perth semalam.

Selepas tersingkir daripada beraksi di separuh akhir AHL kelmarin, pasukan bimbingan Stephen Van Huizen tidak dapat memperoleh kemenangan sagu hati dan hanya akan beraksi di penentuan tempat kelima hingga kelapan esok.

Menurut pemain pertahanan negara, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan kelemahan paling ketara pasukan kebangsaan adalah memperbaiki teknik asas seperti menahan dan melakukan hantaran bola.

“Kita juga harus memperkuatkan bahagian tengah agar tidak kehilangan bola,” kata pemain kelahiran Perak itu.

Malaysian Tigers ketinggalan 0-1 pada minit ke-20 apabila Josh Pollard menjaringkan gol melalui jaringan padang dan enam minit kemudian pemain kebangsaan Australia, Chris Ciriello menyumbat gol kedua hasil pukulan sudut penalti.

Pasukan lawan menambah gol ketiga serta keempat melalui jaringan padang Aaron Klinschmidt (30) dan Russell Ford (34), sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-50 untuk go saguhati negara.

Sementara itu, Malaysia B (skuad pembangunan) mengakhiri saingan Kumpulan B dengan meraih mata pertama apabila mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Tassie Tigers.

Pasukan lawan terlebih dulu menjaringkan gol melalui Eddie Ockenden pada minit ke-23 sebelum Faizal Saari menyamakan kedudukan juga melalui cara sama pada minit ke-43.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:28 AM