Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Rata-rata penduduk di Semenyih kesal apabila terus dibelenggu dengan gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih yang didakwa menjadi punca berlakunya gangguan berkenaan.

Penduduk yang juga pesara kerajaan, Jauhari Abdul Aziz,64, berkata, sejak kebelakangan ini penduduk kerap menghadapi gangguan bekalan air selain catuan air di daerah ini.

"Macam mana mahu hidup, susahlah kalau keadaan begini berpanjangan. Sudahlah penduduk tidak dimaklumkan mengenai notis pemberitahuan berhubung gangguan bekalan air ini dan tiba-tiba tidak ada air.

"Jadi, ia akan mengundang kemarahan penduduk yang rata-ratanya sukar untuk melakukan aktiviti harian," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, petang tadi.

Katanya, pihaknya dimaklumkan mengenai sebuah kilang kitar semula minyak enjin kenderaan yang ditutup didakwa punca berlakunya pencemaran sehingga menyebabkan loji rawatan air Semenyih ditutup.

"Kita pun tak pasti adakah kilang berkenaan (yang menyebabkan pencemaran) kerana di sepanjang Sungai Semenyih terdapat banyak kilang sama ada berlesen atau tidak. Jadi, mungkin ada banyak kilang lain yang beroperasi tanpa lesen.

"Sebelum ini pun, penduduk di sini kerap terhidu dengan bau busuk kerana ada kilang membuang sampah yang kini sudah pun ditutup malah lori sampah juga sudah tidak dibenarkan melalui kawasan di sini tetapi bau busuk itu masih ada," katanya.

Surirumah, Norsiah Majid, 60, berkata, bekalan air di Semenyih tidak konsisten sehingga menyukarkan dia dan keluarga melakukan aktiviti harian.

"Pernah dalam seminggu dua hari tidak ada air, esok ada tetapi kemudiannya tidak ada. Jadi, menyukarkan untuk saya memasak, melakukan kerja rumah dan sebagainya.

"Hari ini ada tapi air hanya sedikit. Kami juga kerap menghidu bau busuk, tidak pasti dari mana datangnya bau berkenaan kadang dalam seminggu tiga hari kami akan menghidu bau berkenaan," katanya.

Sementara itu, Norlailah Majid, 50, gangguan bekalan air itu menyukarkan anak-anaknya untuk bersekolah serta menjalankan aktiviti harian sehingga menyebabkan dia terpaksa mengangkut bekalan air dari sungai berhampiran rumahnya.

"Anak-anak bangun pagi untuk ke sekolah tiba-tiba tiada air. Keadaan itu menyukarkan mereka terutama untuk mandi.

"Saya juga susah untuk memasak, basuh pinggan, basuh baju sebagainya," katanya.

Katanya, dia terpaksa tampung air hujan selain mengangkut air dari sungai berdekatan rumahnya.

"Air yang ada juga berwarna kuning dan berkarat. Kalau basuh baju anak-anak nampak perbezaan warna itu selain berbau. Takut juga mahu menggunakan air itu untuk minum selain terpaksa membeli air mineral di luar," katanya.

Semalam, sebuah kilang kitar semula minyak enjin kenderaan ditutup serta merta didakwa menjadi punca berlakunya pencemaran bau di Semenyih.

Pencemaran itu juga menyebabkan loji rawatan air Semenyih ditutup mengakibatkan lebih 200 kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

Tinjauan Harian Metro di premis itu turut mendapati ia sudah tidak beroperasi dan pihak berkaitan sedang giat menjalankan kerja-kerja mengangkut barangan yang disita selepas ia turut didapati menjalankan operasi tanpa lesen.

Bagaimanapun, loji rawatan air Sungai Semenyih kembali beroperasi, hari ini.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), proses penyaluran bekalan air ke kolam takungan sedang berlangsung dan dijangka mencapai tahap optimum pada 4 petang tadi.

Syabas menasihatkan pengguna untuk mendapatkan jadual pemulihan dan status terkini di www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi mySyabas di Google Play Store atau Apple App store.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 11:06 PM
Pemilik kedai nasi ayam, Mimah Abdul 76 (kanan), dibantu pekerjanya ketika mengangkat simpanan air untuk kegunaan membasuh pinggan berikutan gangguan bekalan air di Semenyih. FOTO AIZUDDIN SAAD