MANGSA diberi rawatan selepas ditikam di dada. FOTO Danial Noordin
Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Dua beranak cedera parah selepas ditikam di bahagian dada oleh perompak dalam kejadian samun di rumah mereka di Taman Harapan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, dua mangsa iaitu ibu, Ardiana Ahmad Kamil, 46, cedera parah di bahagian dada kiri manakala anaknya, Nur Amira Asshari, 22, pula cedera di bahagian dada kanan dan tangan kiri.

Difahamkan, kejadian bermula apabila perompak memasuki rumah melalui pintu belakang sebelum ke bilik Amira lalu mencekik mangsa sebelum menikamnya.

Ibu mangsa yang tidur di bilik bersebelahan kemudian bergegas ke bilik anaknya selepas mendengar jeritan, sebelum turut ditikam perompak terbabit yang melarikan diri selepas itu.

Dua mangsa itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 12:46 PM