KETIKA ini pencarum hanya boleh mengeluarkan 30 peratus dalam Akaun 2.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih lagi dalam peringkat perbincangan bagi membolehkan pencarum mengeluarkan lebih banyak dana dalam Akaun 2 KWSP untuk membiayai pembelian rumah pertama.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kemudahan pengeluaran dana terbabit bagaimanapun tertakluk kepada mereka yang hanya ingin membeli rumah pertama dan mampu milik serta bukan bagi membiayai pembelian kediaman mewah.

Beliau berkata, apabila perbincangan dimuktamadkan, usaha itu dilihat dapat membantu merapatkan jurang antara pembiayaan kewangan dan harga rumah yang perlu ditanggung pembeli rumah.

“Secara keseluruhannya, ia kaedah terbaik dalam memberi peluang pencarum untuk menggunakan sebahagian daripada simpanan KWSP untuk membeli rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sesi meja bulat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, semalam. Hadir sama Naib Presiden NCCIM, Tan Sri K K Eswaran dan Setiausaha Agung NCCIM, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum turut berharap kerajaan mempertimbangkan supaya peruntukan semakan peratusan bagi Akaun 2 KWSP dinaikkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus.

Semakan semula itu membolehkan pencarum mempunyai lebihan dana dalam akaun berkenaan bagi menampung bayaran wang pendahuluan pembelian hartanah, mengurangkan pinjaman perumahan dan membayar ansuran bulanan pinjaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 8:01 AM