MELAHIRKAN cahaya mata yang bijak dan berkepimpinan menjadi impian setiap ibu bapa.

Memiliki keluarga bahagia terutama anak yang bijak dalam pelajaran malah sentiasa mendengar kata serta tidak banyak menimbulkan masalah impian setiap ibu bapa.

Hakikatnya, ibu dan bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik bagi memudahkan si kecil tersayang mencontohi sifat terbabit.

Saling membantu, memiliki hubungan baik dengan keluarga dan jiran tetangga serta menasihati sesama individu antara sikap yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian pasangan ibu bapa.

Terdapat banyak kaedah atau cara yang boleh dilakukan ibu bapa dalam proses mendidik dan melahirkan generasi akan datang yang mempunyai sifat kepemimpinan.

Sifat kepemimpinan itu boleh lahir melalui didikan dan asuhan yang betul daripada ibu bapa serta penjaga terutama dalam membentuk tahap keyakinan diri mereka.

Dalam usaha itu peranan ibu bapa membimbing keluarga turut mempengaruhi perkembangan si kecil terutama kemahiran bersosial dan berfikir.

Antara perkara yang boleh dilakukan ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak yang bijak dan memiliki sifat positif:

- Terapkan elemen nasihat yang tidak membosankan ketika menegur kesalahan anak.

- Berikan kepercayaan kepada anak ketika melakukan sesuatu perkara contohnya ketika memesan makanan di restoran yang memerlukannya berinteraksi dengan individu lain.

- Minta mereka memasang cita-cita atau azam untuk bergelar seorang pemimpin.

- Memberi galakan dan semangat kepada anak anda menyertai pertandingan di sekolah bagi menanam sifat berani dalam diri mereka.

- Sering bercerita kepada mereka mengenai tokoh negara yang disegani berserta sumbangan tokoh berkenaan.

- Tunjukkan contoh yang baik dengan menjalin hubungan erat dengan jiran terdekat seperti sering berbual atau bertukar juadah masakan.

- Luangkan masa secukupnya untuk anak-anak dan sentiasa berusaha untuk berada di sisi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 4:59 AM