SEORANG askar India mengawal keselamatan di jalan raya di Srinagar. - Reuters
AFP

New Delhi: Polis menangkap seekor burung merpati yang membawa nota mengancam Perdana Menteri Narendra Modi berhampiran sempadan Pakistan.

Anggota Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) menemui burung itu di Pathankot, sebuah bandar di Punjab, tempat militan yang berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan maut ke atas pangkalan udara pada Januari lalu.

“Kami menangkapnya petang semalam. Anggota BSF menemui sekeping nota dalam bahasa Urdu yang berbunyi, ‘Modi, kami tidak sama seperti orang pada 1971. Kini setiap kanak-kanak bersedia bangkit menentang India.’

“Nota itu ditandatangi kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT) yang berpangkalan di Pakistan, jadi kami perlu menyiasat perkara ini dengan lebih serius,” kata pegawai polis Pathankot, Rakesh Kumar.

Ini bukan kali pertama burung digunakan dalam permusuhan yang sering membawa maut antara kedua-dua negara bersenjata nuklear itu. Tahun lalu, seekor merpati ditangkap selepas disyaki digunakan untuk tujuan risikan malah imbasan x-ray turut dijalankan untuk memastikan ia tidak membawa kamera atau cip tersorok.

Kejadian di terbaru berlaku dalam pada ketegangan semakin meningkat berikutan serbuan ke atas sebuah pangkalan tentera India di Kashmir dua minggu lalu yang didakwa New Delhi dilakukan kumpulan militan sama yang bertanggungjawab ke atas serangan di Punjab, Januari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:46 AM