LEE Lam Thye (dua kiri) menyampaikan sijil pelantikan kepada Naib Pengerusi MCPF Johor, Khadmudin Mohamed Rafik sambil diperhatikan Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd (kiri) dan Pengerusi MCPF Johor, Datuk Freddie Long (kanan) ketika Forum Pencegahan Jenayah PDRM bersama MCPF Johor 2016. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan mengadakan sesi pendengaran awam atau 'Town Hall' buat pertama kalinya November ini dalam usaha memperkukuhkan organisasi itu.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sesi 'Town Hall' bakal diadakan di seluruh negeri di Malaysia secara berperingkat bagi mendengar sendiri pendapat dan cadangan bagi memperkukuhkan MCPF dalam usaha membantu ke arah pencegahan jenayah di negara ini.

"Ini adalah satu konsep yang mana kita akan menjemput badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, orang ramai, ahli akademik, golongan belia, remaja dan wanita bagi bersama dalam sesi itu untuk mendengar pandangan mereka.

"Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri, menyatakan hasrat untuk bersama-sama turut serta dalam sesi itu nanti," katanya ketika sidang media selepas Forum Pencegahan Jenayah dan Peranan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi platform 'Town Hall' itu, masyarakat bebas bersuara untuk mengutarakan kehendak mereka mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 4:43 PM