VR Ravi Chandran (tengah) bersama Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Superintendan Abdul Latiff Mehat (kanan) dan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Syukry Mohd Ali menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita serta merampas dadah jenis syabu seberat 640 gram dan heroin seberat 1.14 kilogram dianggarkan bernilai RM62,584 dalam serbuan di rumah di Chemor, Ipoh, 9.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner VR Ravichandran berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah menjalankan kegiatan mereka sejak tiga bulan lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing dijalankan mendapati kesemua mereka negatif dadah.

"Dadah dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada penagih lebih 2,500 orang dan disyaki untuk edaran di sekitar Chemor.

"Kesemua suspek direman selama enam hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 4:03 PM