SEORANG kanak-kanak tidak melepaskan peluang membuat pemeriksaan gigi.
Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my


Seramai 40 sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan menyertai misi kemanusiaan di Kampung Chhnang dan Kampung Brei Bis, Kemboja, baru-baru ini.

Program musim kelima selama tujuh hari membabitkan siswa dan pensyarah itu menumpukan pemeriksaan kesihatan dan mata, rawatan pergigian serta program berkhatan beramai-ramai.

Penduduk Islam di kampung berkenaan turut menerima bantuan beras, sardin dan al-Quran untuk ditempatkan di masjid mereka.

Ketua Penyelaras Mohd Danial Jamaludin berkata, 240 kanak-kanak Islam dan seorang mualaf dewasa dikhatankan secara berperingkat oleh tiga pakar perubatan dibantu 16 siswa daripada enam kulliyah dan 12 kakitangan UIAM terdiri pegawai perubatan dan doktor.

Menurutnya, disebab­kan kemiskinan, ibu bapa di Kampung Chhnang dan Kampung Brei Bis tidak dapat menghantar anak ke klinik untuk berkhatan, selain tidak membersihkan rambut mereka hingga menyebabkan kutu mudah membiak.

“Selain misi kesihatan dan berkhatan, kami turut menyampaikan bantuan beras kepada keluarga miskin selain membekalkan peralatan solat seperti kain pelekat, kain batik, telekung, tasbih, kopiah dan buku panduan mengaji,” katanya.

Mohd Danial berkata, bagi menambah ilmu agama, kanak-kanak turut diajar berselawat, berzikir, mengaji, menunaikan solat dan azan oleh sukarelawan.

Katanya, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM55,000 bagi menjayakan program berkenaan hasil sumbangan masyarakat dan pengurusan UIAM Kampus Kuantan yang sentiasa menyokong penganjuran program terbabit.

Misi kemanusiaan di Kemboja kali ini anjuran Jabatan Pembangunan Pelajar dan Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan de­ngan kerjasama Pusat Sehenti Pelajar yang diadakan setiap tahun.

Peserta program Muhammad Solehuddin Bumidin dari Kulliyah Sains berkata, penduduk di Kampung Chhnang dan Kampung Brei Bis begitu daif kerana tiada sumber pendapatan, sebaliknya hanya bergantung kepada pertanian dan ternakan.

“Seminggu di sana mengajar erti syukur apabila penduduk di pedalaman Kemboja tidak banyak pilihan makanan seperti di negara ini. Kebanyakan mereka makan nasi dengan ikan masin dan sayur kampung.

“Kami juga menyampaikan bantuan seperti berus dan ubat gigi, sikat kutu dan pemotong kuku kepada penduduk kampung yang dilihat begitu terharu dan berterima kasih kepada sukarelawan.

“Bekalan vitamin juga dibekalkan untuk diagihkan kepada pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:47 AM