SMK Taman Kenari memenangi kategori persembahan terbaik dan juara pertandingan TEY 2016.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kenari, Kulim, Kedah muncul juara Toyota Eco Youth (TEY) 2016, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Keputusan itu diumumkan pada majlis penutup TEY 2-16 di Hotel Concorde, Shah Alam, ming­gu lalu.

Pertandingan anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) membabitkan penyertaan 14 sekolah itu bertema pengurusan sisa pepejal yang memerlukan pelajar mendepani masalah alam sekitar dihadapi ma­syarakat sekitar.

Kumpulan enam pelajar dari SMK Kenari mengemukakan cadangan projek membaik pulih kebersihan Sungai Wang Pinang, Kulim daripada pencemaran dan pembuangan terlarang dengan kos sekitar RM300,000.

Projek berjaya mengurangkan 70 peratus sampah dan bahan buangan terlarang di sungai berkenaan melalui projek diberi nama ‘Biosphere Protectors’.

Ketua kumpulannya Puteri Nur Fakhira Umairah Shafie, 16, bersyukur apabila diumumkan sebagai juara selepas berusaha selama enam bulan.

“Kami tidak menyangka kerja keras dan penat lelah selama ini berbaloi. Pelbagai rintangan perlu dihadapi bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Antara yang paling mencabar ialah berhadapan dengan sikap penduduk,” katanya.

Ditanya mengenai pembahagian masa untuk belajar dan menguruskan projek, Puteri Nur Fakhira Umairah berkata, pengurusan masa yang baik membuatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) tidak terjejas.

“Sepanjang ia berlangsung, kami membahagikan masa dengan baik supaya kedua-dua PnP dan projek berjalan lancar.

“Pada waktu PnP di bilik darjah kami beri tumpuan penuh dan perbincangan berkaitan projek hanya dilakukan selepas waktu sekolah bermula jam 2 petang setiap hari.

“Perbincangan biasanya mengambil masa kira-kira tiga jam dan selepas pulang kami akan sambung ulang kaji atau ke kelas tuisyen,” katanya.

Menurutnya, wang kemenangan bakal digunakan untuk projek seterusnya kerana ia bakal berterusan.

“Kami sudah gariskan projek yang bakal dijalankan untuk masa akan datang kerana ia berterusan bagi memastikan kebersihan di kawasan berkenaan dan kawasan lain terus terjaga,” katanya.

Presiden UMWT Datuk Ismet Suki berkata, saban tahun pihaknya komited dan memberikan komitmen tinggi terhadap alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:18 AM