PESERTA turut dihiburkan persembahan nyanyian.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Larian dan aktiviti berbasikal amal, Orchid Run & Ride 2016 kembali pada 25 September lalu di pekarangan Persiaran KLCC dengan sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik lebih 5,000 peserta.

Acara yang dianjurkan Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) dan Petronas itu menawarkan lebih banyak aktiviti menarik bagi mencapai matlamatnya mengumpul jumlah dana sehingga RM200,000 untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Meliputi laluan sejauh lima kilometer, acara itu turut disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden Petronita Datin Dr Azura Ahmad Tajuddin, selain kakitangan syarikat petroleum itu dan orang awam.

Menurut Dr Azura, dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Unit Pediatrik Penyakit Jantung Kongenital (PCHC)Institut Jantung Negara, Bank Kanta Intraokular Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan.

“Kami berharap program ini akan diteruskan sebagai acara tahunan dan saya percaya ia mampu pergi jauh.

“Kami juga mahu lebih ramai dapat memainkan peranan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dan pada masa sama menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Petronita menjalinkan hubungan rapat dengan badan kebajikan termasuk kerjasama bersama Pusat Perubatan Prince Court sebelum ini menerusi projek Sayangi Matamu.

Menerusi projek itu, 45 pesakit yang mempunyai masalah berkaitan penglihatan dan katarak berjaya mendapatkan rawatan.

Selain itu, badan berkenaan turut bekerjasama dengan PCHC untuk menyebarkan keceriaan dan memberi motivasi kepada pesakit pediatrik termasuk menyediakan badut dan maskot, selain makanan, permainan dan sumbangan wang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:05 AM