COSTA (kanan) jaring enam gol daripada tujuh perlawanan.
AFP

Kingston upon Hull, England: Pengurus Chelsea Antonio Conte memuji Diego Costa apabila penyerang berwibawa Sepanyol itu meraih gol keenam dalam tujuh perlawanan untuk menewaskan Hull 2-0.

Costa gagal mencapai separuh dozen gol sehingga minggu pertama Januari musim lalu, namun bintang panas baran itu dilihat kembali kepada aksi terbaiknya di bawah kendalian jurulatih baru Chelsea dari Itali itu.

Gandingannya dengan Willian dan Eden Hazard di bahagian serangan dilihat sukar dibendung untuk membelasah Hull apabila Willian membuka jaringan sebelum disempurnakan Costa untuk tiga mata kelmarin.

“Ia sesuatu yang menakjubkan daripadanya, untuk kami,” kata Conte yang pasukannya kembali ke landasan sebenar selepas kekalahan kepada Liverpool dan Arsenal.

“Dia sudah menjaringkan enam gol tapi saya fikir Diego berpeluang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

“Adalah penting untuknya menjaringkan tapi penting juga jika dia bekerjasama untuk pasukan. Bagi saya ini perkara paling penting, bergandingan dengan Willian dan Hazard.

“Saya puas hati dengan permainan mereka kerana kami bermain dengan kesungguhan dan memberikan tekanan sewajarnya.

“Selepas dua kekalahan, ia bukan sesuatu yang mudah tapi saya berpuas hati dengan sikap dan komitmen pemain. Kami bekerja keras dan saya fikir itulah cara yang tepat.

“Kami perlu mengikuti cara ini kerana kami perlu tahu prestasi perlu dipertingkatkan dan hanya ada satu cara untuk memperbaikinya iaitu dengan bekerja keras.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:40 AM