Usher kagumi bakat tempatan.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bintang R & B antarabangsa, Usher mengagumi bakat penyanyi tempatan, Yuna, 29, dan berhasrat mahu bekerjasama lagi dengannya lagi selepas kejayaan lagu duet mereka, Crush.

Penyanyi dari Amerika Syarikat itu juga mahu Yuna menjadi penerbit albumnya suatu hari nanti kerana percayakan kemampuan penyanyi kelahiran Malaysia itu.

"Yuna sangat berbakat dan tahu bagaimana material tepat untuk seseorang penyanyi.

"Apa yang pasti, kerjasama menerusi lagu Crush bukan pertama dan terakhir kerana saya mahu bekerjasama dengannya lagi suatu hari nanti," katanya kepada Harian Metro dalam satu temubual di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Usher, 37, hadir ke Malaysia bagi menjayakan persembahan sempena kejohanan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Usher sebelum ini menyambut baik pelawaan Yuna untuk bekerjasama menerusi lagu Crush yang dicipta Yuna hingga lagu itu mendapat sambutan luar biasa.

Usher juga mengakui dia memang kagum dengan Yuna sejak pertama kali berjumpanya dulu.

"Dia adalah antara penyanyi yang betul-betul berjaya menambat hati saya. Yuna memiliki 'tone' suara yang sangat indah selain begitu berbakat dalam mencipta lagu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 4:05 PM