Rafiena nafi kemenangan disebabkan pembabitan jenama kosmetiknya.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Singapura: Produser dan usahawan kosmetik, Datuk Rafiena Ezanee Ramli menafikan kemenangan penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat pada Anugerah Planet Muzik 2016 (APM 2016) yang berlangsung di sini, malam kelmarin disebabkan pembabitan jenama kosmetiknya, House Of Dre sebagai penaja bersama.

Rafiena berkata, walaupun Ayda dilantik sebagai duta salah satu produknya baru-baru ini, tetapi pihaknya tidak pernah terbabit membeli undi dan kemenangan Ayda pada malam itu adalah usaha kerasnya sepanjang bergelar anak seni sejak tujuh tahun lalu.

"Kami tidak pernah membeli undi untuk meletakkan Ayda sebagai salah seorang penerima anugerah. Lagipun budaya membeli undi adalah sesuatu tidak sihat untuk diamalkan," katanya kepada Harian Metro.

Rafiena berkata, penajaan pada majlis penganugerahan itu tidak membabitkan penyanyi lagu Pencuri Hati itu.

"Untuk APM 2016, kami menaja produk spa keluaran House Of Dre, bukan siri wangian yang membabitkan Ayda," katanya.

Pada APM2016, Ayda meraih tiga kemenangan menerusi kategori undian peminat iaitu Artis Paling Popular APM, Lagu Paling Popular (Pencuri Hati) dan Ikon Media Sosial.

Kemenangan pelakon drama bersiri Assalammualaikum Cinta itu menjadi pertikaian kerana dia terlebih dahulu dilantik sebagai wajah siri wangian Charisma Luxe yang dipasarkan Rafiena beberapa bulan lalu.

Ayda ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu hasil usaha keras kelab peminatnya AJ Screamer yang mengundi bagi memastikan kejayaannya.

"Mereka sanggup lakukan apa saja termasuk sanggup tidak tidur untuk terus mengundi saya. Mereka memang luar biasa.

"Tidak adil untuk mempertikaikan kemenangan itu dan bising-bising kalau tidak berusaha atau dalam kata lain tak mengundi," katanya.

Ayda berkata, dia tidak mahu ambil pusing dengan cakap-cakap nakal mengenai perkara itu sebaliknya mahu terus meraikan kemenangan besarnya itu bersama peminat.

"Kalau ikut jumlah penduduk memang satu cabaran besar dan mustahil dalam pertandingan membabitkan undian.

"Hakikatnya, kesungguhan untuk mengundi itu paling utama, ramai pun kalau tidak undi tidak guna juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 2:43 PM