TUNKU Sallehuddin (tengah) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga kiri) bersalaman bersama tetamu jemputan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Umat Islam perlu menghayati nilai ukhwah antara golongan Muhajirin dan Ansar yang memberi inspirasi kepada tertubuhnya sebuah negara Islam berdaulat.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, integrasi antara kedua-dua golongan itu membentuk kesatuan yang kukuh dan mewujudkan agenda muafakat demi membantu Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam.

"Semua rakyat di negara ini perlulah bersatu dan mengenepikan perbezaan fahaman politik serta tidak membiarkan negara retak dan hancur angkara manusia tidak bertanggungjawab.

"Janganlah kerana pemikiran sempit kita sanggup meruntuhkan tembok persaudaraan dan menggadai kehormatan negara yang dibina sejak sekian lama," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1438/2016 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman di sini, hari ini yang dihadiri lebih 1,000 umat Islam.

Sementara itu, Bekas Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh, 68, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah dan menerima wang tunai RM7,000 berserta sijil penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 1:20 PM