London: Bekas pengurus West Brom, Steve Clarke menerima tugas sebagai pengendali Reading, umum kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu semalam.

Clarke, 51, mengikat kontrak dua setengah tahun untuk menggantikan Nigel Adkins yang dipecat Isnin lalu selepas dibelasah 6-1 oleh Birmingham City, sekali gus menyaksikan Reading menghuni tangga ke-16 liga divisyen dua itu.

“Saya amat gembira menyertai Reading dan tidak sabar membantu kelab ini melaksanakan hala tuju yang sepatutnya,” kata Clarke dalam laman web Reading.

“Banyak kerja perlu dilakukan di padang latihan dan saya tidak sabar untuk berjumpa pemain. Ada potensi besar di sini dan kami harap dapat menceriakan penyokong selepas ini.”

Kelab Liga Perdana West Brom yang memecat Clarke setahun lalu, satu-satunya kelab dikendalikan pengurus dari Scotland itu, namun beliau pernah bekerja sebagai jurulatih di Newcastle, Chelsea, West Ham dan Liverpool.

“Beliau hadir dengan pengalaman menakjubkan dan saya tidak sabar menyaksikan peningkatan kelab ini dalam carta liga,” ujar pengerusi bersama Reading John Madejski.

Clarke akan mengendalikan perlawanan pertamanya hujung minggu ini apabila Reading menanti kunjungan pasukan tangga keenam Watford ke Stadium Madejski.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:35 AM