JETTA menerima pengiktirafan EEV.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Menawarkan pemanduan sporty dengan prestasi dan keselamatan adalah elemen utama Volkswagen Jetta baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan baru-baru ini.

Dikuasakan enjin 1.4L TSI generasi baru dengan kotak gear direct shift tujuh kelajuan, ia berupaya menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm pada putaran enjin 1,500 hingga 3,500 rpm menjadikan ia antara yang berkuasa dalam segmennya.

Selain prestasi, ia mampu memecut daripada 0 kepada 100km/j dalam masa 8.6 saat serta menawarkan gabungan penggunaan bahan api mencapai purata 5.0 liter/100 km.

Mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang dilengkapi dengan fungsi mula/henti, sistem brek janaan semula dan pelayaran tidak sahaja untuk kegunaan petrol yang efisien malah menjadikan kos penyelenggaraan lebih rendah.

Aspek keselamatan pula dilengkapi dengan sistem brek multi-pelanggaran, enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek (BA), Sistem Respons Pelanggaran Pintar (ICRS) serta kawalan hill-hold.

Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Alin Tapalaga dan Florian Steiner, sejak pengenalan Jetta di Malaysia pada 2011 ia menjadi satu daripada model dalam segmen C yang popular dengan menyumbangkan sekitar 15 peratus daripada jualan keseluruhan Volkswagen di Malaysia.

“Jetta baharu pemasangan tempatan ini bukan sahaja berprestasi malah ditawarkan dengan tiga varian bagi memenuhi keperluan bajet pelanggan yang berbeza,” katanya.

Rekaan luaran menampilkan garis-garis elegan dengan tahap aerodinamik yang lebih baik bersama jeriji dan bampar hadapan rekaan baru termasuk rim aloi “Queensland” bersaiz 17 inci yang pertingkatkan gaya.

Bahagian dalaman dengan fungsi kemasukan tanpa kunci KESSY, butang penghidup enjin yang memberi keselesaan maksimum untuk pemandu dan penumpang dengan tempat duduk balutan kulit ‘Vienna’ serta pendingin hawa automatik ‘dual-Climatronic’.

Jetta baharu ditawarkan dalam tiga varian dan harga jualan asas untuk Trendline bermula daripada RM108,990, Comfortline (RM117,990) serta Highline (RM128,990) dengan empat warna iaitu putih, kelabu, perak dan hitam. Waranti pula selama lima tahun untuk pembelian bermula 1 September, 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:04 AM