SEORANG murid menunjukkan gambar abjad untuk bahasa isyarat di sebuah sekolah rendah di Bengkala.
PENARI kelainan upaya pendengaran mempersembahkan tarian tradisional di Bengkala.
SEORANG guru mengajar muridnya yang pekak di sekolah rendah di Bengkala.
KUMPULAN lelaki berdikir mengiringi persembahan tarian.

Wanita Bali memakai anak baju berwarna emas dengan tangan memegang kipas menari sambil diiringi paluan gendang. Di keliling mereka, sekumpulan lelaki berpakaian warna ungu duduk bersila dengan tangan digerak-gerakkan

dan berdikir.

Nampak sama saja seperti persembahan tarian lain di pulau peranginan terkenal Indonesia itu, tetapi satu yang membezakannya semua penarinya pekak dan sebenarnya tidak mampu mendengar rentak serta irama dilagukan.

Sebaliknya, mereka cuma melakukan tarian itu hasil usaha dan latihan keras selama beberapa bulan kerana menghafal setiap langkah serta pergerakan.

Perkampungan Bengkala memiliki jumlah penduduk pekak yang ramai sejak beberapa generasi lalu, malah hari ini kira-kira 40 daripada 3,000 penghuninya kurang upaya pendengaran.

Namun, berbeza dengan tempat lain di Indonesia, di mana golongan itu mungkin terpinggir, penduduk tempatan menjaga baik orang kampung mereka yang pekak malah sanggup membuat beberapa perubahan dalam kehidupan seharian untuk memudahkan mereka.

Selain projek tarian itu, bahasa isyarat unik digelar Kata Kolok dicipta di bandar itu dan mampu digunakan hampir semua orang, tidak kira yang bermasalah pendengaran atau normal. Kata Kolok juga mendapat perhatian saintis di seluruh dunia.

Penduduk pekak juga diajar pelbagai kemahiran seperti membuat kraftangan yang dijual di pusat peranginan di pulau itu, selain turut bersama-sama membanting tulang mengerjakan sawah padi bersama orang kampung.

Ketua kumpulan yang menjaga hal ehwal masyarakat pekak kampung itu, Ketut Kanta berkata: “Hak manusia sama saja di mana-mana, jadi saya fikir orang pekak tidak patut dipulaukan.”

Pendekatannya itu amat unik di Indonesia, di mana golongan kurang upaya sering berdepan diskriminasi.

Bengkala yang terletak di utara Bali wujud sejak lapan kurun lalu dan penduduknya mencari rezeki sebagai petani. Penduduk juga selalunya tidak berpendidikan tinggi.

Sebelum ini, penduduk menyangka jumlah orang pekak yang ramai di situ mungkin disebabkan sumpahan, namun persepsi itu berubah selepas kajian menunjukkan masalah itu akibat gen resesif dalam kalangan penduduk di situ.

Usaha membantu orang kampung yang pekak bermula sejak 1960-an, dan kini semua orang dilayan sama rata, kata ketua kampung, I Made Arpana.

“Kami tidak membezakan antara mereka yang pekak dengan normal. Kami tidak mahu mereka yang kurang upaya pendengaran terasa kurang penting berbanding yang lain,” katanya.

Antara faktor utama yang membolehkan mereka hidup harmoni adalah Kata Kolok - yang bermaksud ‘cakap orang pekak’ yang digunakan hampir 80 peratus penduduk di situ.

Ia berbeza daripada bahasa isyarat Indonesia dan antarabangsa kerana mempunyai cara tersendiri menggambarkan persepsi penduduknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:02 AM