HAZIQ kecewa gagal atasi Indonesia.

Palembang: “Secara peribadi, saya kecewa gagal merangkul emas kerana sasaran sememangnya diletakkan dalam acara berpasukan.

“Sebelum ke sini (Palembang), saya sudah mengimpikan untuk memenangi emas acara recurve berpasukan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

“Mungkin kelebihan memihak kepada Indonesia kerana kita beraksi di tempat mereka. Bukan rezeki saya kali ini,” kata Haziq Kamaruddin.

Gandingan Haziq, Atiq Bazil Bakri dan Muhammad Shaiffuddin Mohd Kamro tewas 6-2 di tangan trio Indonesia, Riau Ega Salsabila, Muhamad Hanif Wijaya dan Irvaldi Ananda Putera.

Kelibat Haziq langsung tidak menggerunkan Indonesia yang membariskan dua pemanah Sukan SEA, Riau Ega dan Irvaldi.

Pengurus pasukan Suhardi Abdullah berkata, kekalahan trio recurve itu bagaimanapun tidak menjejaskan keceriaan pasukan apabila mereka memenangi tiga daripada empat emas dipertandingkan di Lapangan Panahan Jakabaring, semalam.

“Kekalan trio recurve lelaki mungkin disebabkan cetek pengalaman. Selain Haziq, dua lagi pemanah kita baru sedangkan Indonesia menghantar atlet kebangsaan.

“Bagaimanapun, kita tetap gembira apabila memenangi tiga emas dan satu perak hari ini,” katanya.

Emas Malaysia dalam acara memanah semalam diraih menerusi acara compound berpasukan lelaki dan wanita serta recurve berpasukan wanita selepas menewaskan Indonesia.

Skuad compound wanita yang dibarisi Norhayati Al-Madihah Hashim, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Cham Nong menang 14-10 ke atas Delile Threesayadinda, Ervin Kulis dan Yuli Purnama Sari.

Compound lelaki dibarisi Ahmad Aliff Fadhulullah Alwi, Ahmad Syafiq Azim Saeri dan Lutfil Hadi Mohd Yusof menewaskan trio Yoke Rizaldi Akbar, Catur Yuri Adi Nugroho dan Suryano Ali, 12-11.

Trio recurve wanita, Azuanis Abdullah, Siti Nurul Asiah Mahmod dan Shahira Abdul Halim menang 5-1 ke atas Titik Kusumawati, Erwina Safitri dan Yulia Anggriani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:24 AM