TERRY
AFP

London: Ikon Chelsea John Terry dilihat bakal disenaraikan semula untuk menentang Hull malam ini dalam usaha pasukannya untuk mengatasi dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Kekalahan di tangan Liverpool dan Arsenal berlaku sejak Terry mengalami kecederaan pergelangan kaki tetapi dia sudah kembali turun menjalani latihan dan ketika pertahanan tengah England Gary Cahill kelihatan hilang rentak, kelibat pemain berusia 35 tahun itu sangat ditagih pasukan.

Terry yang hampir kehilangan tempat di Chelsea hujung musim lalu, tampil sebagai pemain paling berpengaruh dalam perancangan jurulatih Antonio Conte apatah lagi selepas pengendali Itali itu gagal memikat beberapa pemain yang menjadi sasarannya pada jendela perpindahan lalu.

Kehadiran David Luiz dan Marcos Alonso pada hari terakhir perpindahan pemain melonjakkan lagi kekuatan benteng pertahanan pasukan tetapi sejak hari pertama, kedua-dua pemain masih gagal menyerlah.

Cahill wajar dipersalahkan ketika pasukannya tewas 0-3 di tangan Arsenal sekali gus menyukarkan karier Conte yang perlu memastikan kelabnya bangkit segera.

Pertahanan England itu dijangka tidak diturunkan dan bakal digantikan dengan Terry apatah lagi mereka bakal berdepan dua perlawanan sukar bertemu juara bertahan Leicester dan Manchester United.

Jurulatih itu sudah mula dapat merasakan kesukaran untuk melonjakkan semula keyakinan pasukan yang menamatkan saingan di pertengahan carta musim lalu.

Ketika fokus latihan ialah untuk mengukuhkan benteng pertahanan, kekalahan di tangan Arsenal turut membuktikan bahawa bahagian tengah pasukan juga longgar selain persembahan hambar N’Golo Kante memainkan peranan atas kekalahan terbabit.

“Jika anda mahu menang, anda perlu mempunyai keseimbangan baik di bahagian serangan dan pertahanan,” kata Conte.

“Saya rasa kami tidak ada pilihan lain jika mahu menang.

“Adalah penting untuk bekerjasama ketika bertahan dan ketika menyerang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 6:46 AM