Keadaan kedai emas di pasar raya di Banting yang dirompak, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Kuala Langat : Empat penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol berjaya melarikan 12 dulang barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit di kedai emas di pasar raya di Banting, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Zailan Tasir berkata, dalam kejadian jam 11.35 pagi itu lima pekerja premis itu sedang mengemaskini kaunter pameran barang kemas berkenaan.

Menurutnya, seorang daripada suspek memegang senjata dipercayai Revolver manakala tiga lagi memecahkan cermin kaunter barang kemas menggunakan tukul besi.

"Semua suspek dipercayai masuk menerusi pintu belakang pasar raya berkenaan dan berdasarkan keterangan saksi, suspek memakai topeng hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan barang kemas itu sebelum memecut laju menggunakan kenderaan jenis Naza Citra berwarna kelabu.

"Polis difahamkan premis ini tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan sejak tiga bulan lalu, dan siasatan masih diteruskan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jumlah sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan berikutan pemilik premis sedang menyemak barang kemas yang dapat dilarikan penjenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 4:49 PM