MANGSA yang cedera dirawat di luar Terminal Kereta Api Hoboken, tempat kejadian berlaku.

New Jersey (Amerika Syarikat): Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan lebih 100 cedera, kebanyakannya parah, selepas sebuah kereta api komuter dipenuhi penumpang merempuh stesen di sini pada waktu puncak, pagi semalam (waktu tempatan).

Kereta api itu gagal berhenti di stesen Hoboken berhampiran sungai Hudson dan gambar awal yang disiarkan menunjukkan lokasi berkenaan rosak teruk dengan sebahagian bumbungnya runtuh.

Jurucakap stesen New Jersey, Jennifer Nelson berkata: “Lebih 100 cedera dan ramai yang dalam keadaan kritikal. Stesen ini kini ditutup.”

Dia tidak dapat mengulas kelajuan kereta api itu ketika ia merempuh penghadang dihujung landasan.

Saksi melaporkan melihat seorang wanita terperangkap di bawah timbunan konkrit dan ramai orang mengalami pendarahan.

Penumpang, Bhagyesh Shah berkata: “Saya berdiri di dalam kereta api. Semuanya normal, tetapi tiba-tiba kereta api kami merempuh platform. Kejadian cuma berlaku dalam beberapa saat tetapi rasa seperti beberapa jam.

“Kereta api dipenuhi penumpang dan saya melihat mereka yang berada di dalam gerabak kedua memecahkan tingkap kecemasan untuk menyelamatkan diri. Ramai yang luka.”

Seorang lagi penumpang, Nancy Bido mendakwa kereta api itu tidak perlahan ketika tiba di stesen berkenaan.

“Kereta api itu tidak membrek. Memang ia bergerak laju dan stesen berkenaan pula bertindak sebagai breknya,” katanya.

Pembaca berita John Minko yang turut menyaksikan kejadian juga berkata kereta api itu tidak berhenti langsung. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:12 AM