KHAIRUL melihat sijil pengiktirafan pelari terpantas 100 meter dengan catatan 10.18 saat.

Kuala Lumpur: Kejayaan Khairul Hafiz Jantan memecah rekod 100 meter berusia 18 tahun selepas mencatatkan 10.18 saat ketika Sukan Malaysia (SUKMA) mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai pelari terpantas negara.

Pengiktirafan itu sekali gus melonjakkan semangat buat anak jati Melaka itu memburu kejayaan lebih gemilang - memecahkan rekod 200m berusia 48 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang melakukan 20.92s di Sukan Olimpik 1968 Mexico - apabila turun beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan memulakan saingannya hari ini.

“Saya rasa gembira dengan pengiktirafan MBOR dan ia memberi saya semangat untuk memecahkan rekod 200m di Terbuka Malaysia.

“Persediaan dan latihan mencukupi memberikan saya keyakinan untuk memberi larian terbaik,” katanya yang merangkul empat emas di SUKMA Sarawak dalam acara 100, 200, 4x100 dan 4x400m.

Bagaimanapun Khairul yang mempunyai catatan terbaik peribadi 21.03s dalam acara 200m itu bakal diberi tentangan pelari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) G Aravinn Thevarr yang merekodkan catatan terbaik peribadi 21.11s di Johor pada Februari lalu.

Tegasnya persaingan sengit diterima mungkin menjadi menjadi pendorong untuk memecahkan rekod 200m itu.

Sementara itu Pengarah Operasi MBOR Christopher Wong berkata, pengiktirafan Khairul sebagai pelari terpantas Malaysia mampu mencetus inspirasi kepada atlet lain.

Katanya, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk mengenal pasti pencapaian seluruh rakyat Malaysia sama ada individu, korporat, perniagaan atau dalam sebarang bidang atas pencapaian peribadi mereka sebagai rekod yang harus diabadikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:36 AM