Yuna (atas) dan Bunkface dapat pencalonan kategori Best Southeast Asia Act MTV EMA. FOTO NSTP/YouTube
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua nama besar industri muzik tanah air, kumpulan Bunkface dan Yuna tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act MTV EMA 2016.

Turut bersaing dalam kategori itu ialah Dong Nhi dari Vietnam, Gentle Bones (Singapura), Raisa (Indonesia), Sarah Geronimo (Filipina) dan Thaitanium (Thailand).

Vokalis Bunkface, Sam ketika dihubungi menyifatkan pencalonan itu sebagai rezeki kelahiran anak sulung lelakinya yang berusia 17 hari.

"Ini kali pertama Bunkface menerima pencalonan untuk MTV dan saat ini sudah lama kami nantikan.

"Berita mengejutkan ini satu kebanggaan buat saya, Youk dan Paan kerana ia petanda perjuangan 10 tahun Bunckafe membuahkan hasil,” katanya.

Menurut Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd Baharom, Bunkface pernah berkongsi pentas dengan bintang terkenal Katy Perry dan Wondergirls di acara MTV World Stage pada 2010.

"Kami pernah berkomunikasi dengan MTV dan mengetahui cara kerja mereka.

"Terima kasih diucapkan kepada peminat kerana menyokong Bunkface," katanya.

Kemuncak MTV EMA 2016 yang akan diadakan di Rotterdam, Belanda pada 9 November ini boleh disaksikan secara langsung oleh penonton di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:09 PM