Zambry menunjukkan salinan surat palsu menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar mengisytihar seorang individu sebagai Sultan Perak Ke-36. - Foto MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
BERNAMA

Ipoh: Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini, meminta polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran surat palsu pengisytiharan pelantikan Kesultanan Melayu Perak ke-36.

Zambry berkata perkara itu amat serius kerana pihak yang tidak bertanggungjawab itu cuba mencemarkan nama Pejabat Menteri Besar.

"Saya sudah mengarahkan pegawai saya membuat laporan berhubung perkara itu untuk polis menjalankan siasatan dan mengesan individu yang terbabit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Negeri di sini.

Zambry berkata, Pejabat Menteri Besar menerima surat palsu itu yang difotostat dan menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar.

Katanya surat itu juga memaklumkan kononnya Zambry mengisytiharkan individu yang tidak dikenali iaitu Sultan Badaruddin Alang Diwakis sebagai Sultan Perak ke-36.

“Surat itu dihantar begitu sahaja dan tidak tahu daripada siapa," katanya.

Menurutnya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu memberi surat yang difotostat bukan menerusi faks atau sebagainya bagi mengelak dirinya dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 5:46 PM