Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (tengah), semalam. - Foto Bernama
BERNAMA

Padang Besar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengunjungi kediaman atlet Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang menyumbang pingat emas negara pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

Lawatan istimewa baginda sempena aktiviti Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli: Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali Ke-57 tahun ini, semalam.

Baginda bertitah, kejayaan atlet berkenaan adalah kebanggaan dan menjadi inspirasi rakyat Perlis untuk mencipta kejayaan di mata dunia, walaupun dalam keadaan kurang upaya.

Baginda bertitah, Perlis juga bertuah kerana mempunyai jaguh 'terbang' Abdul Latif Romly yang turut menghadiahkan pingat emas pada temasya berprestij itu.

Dalam lawatan ringkas itu, Mohamad Ridzuan mempersembahkan ole-ole sebotol Coca-cola dari Rio kepada Tuanku Syed Faizuddin, yang mempunyai hobi menyimpan koleksi Coca-cola dari serata dunia.

Selepas majlis itu, Raja Muda yang diringi pengurusan Felda dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta lebih 300 peserta, berbasikal sejauh‎ 18 kilometer dalam 'Program Kayuhan Sehati Sejiwa Seranta (Felda) dan KUIPs' merentasi sekitar kawasan Felda Mata Ayer di sini, untuk menyerahkan sumbangan zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 5:44 PM