KEADAAN lori dan kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Arau: Lelaki maut manakala tiga cedera selepas kereta bertembung dengan lori satu tan di Jalan Alor Redis-Tambun Tulang di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Nanda Maarof berkata dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, kereta dipercayai sedang dipandu laju dari arah Tambun Tulang menghala ke arah Jejawi.

“Tiba-tiba kereta berkenaan gagal dikawal menyebabkan ia terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar di bahagian tepi sebelah kiri oleh lori satu tan yang menghala ke Tambun Tulang” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

“Anggota bomba dari Balai Bomba Kangar yang tiba di tempat kejadian mengeluarkan tiga mangsa yang didapati tersepit dalam kereta,”€ katanya.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar namun penumpang yang duduk di tempat duduk hadapan kereta itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Azaz Ahmad, 31, dari Jalan Tambun Tulang-Simpang Empat, Kangar manakala rakannya yang parah dikenali sebagai Hafis Abd Rahim, 23, dari Jalan Tambun Tulang-Simpang Empat, Kangar dan Asyraf Hakimi Adnan, 19, yang berasal dari Sanglang, Perlis.

Pemandu lori pula dikenali sebagai Firdaus Rosman, 28, dari Jalan Syed Hussein, Arau.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 5:06 PM