Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kapal Zaytouna-Olive meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily, Itali untuk meneruskan misi Women's Boat to Gaza (WBG) kira-kira 4 petang tadi (Waktu Malaysia).

Pelayaran ke Gaza, Palestin sejauh 1,000 batu nautika itu dijangka mengambil masa tujuh hingga lapan hari.

Menurut wakil Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan pelayaran kali ini memberi seribu satu makna kepada semua pencinta kemanusiaan untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza.

"Saya berdoa Allah SWT memberikan kami kesihatan untuk meneruskan pelayaran ini dan dapat menangani segala rintangan dan provokasi dilakukan rejim Israel dengan berhemah.

"Saya memohon semua penduduk dunia tidak kira agama dan bangsa mendoakan kejayaan kami," katanya.

Setakat ini, hanya 13 orang ahli misi yang menaiki kapal Zaytouna-Olive meneruskan pelayaran manakala kapal Amal-Hope II yang menggantikan Amal-Hope I akibat masalah teknikal dijangka berlayar ke Gaza beberapa hari lagi.

Pada 14 September lalu kedua-dua kapal memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol tetapi Amal-Hope I terkandas akibat kerosakan enjin manakala Zaytouna-Olive berjaya merentasi Laut Mediterranean dan tiba di Itali Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 7:50 PM
DR Fauziah (tiga kiri) bersama ahli misi yang menaiki kapal Zaytouna-Olive. FOTO ihsan Freedom Flotilla Coalition (FFC)
DR Fauziah (kanan) bersama ahli misi yang menaiki kapal Zaytouna-Olive. FOTO ihsan Freedom Flotilla Coalition (FFC)