SUNGAI Semenyih mengalir berhampiran Semenyih High-Tech Industrial Park pada 26 September lalu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pihak berkuasa sedang giat mengesan pihak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran di Sungai Semenyih.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, sehingga semalam pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti lokasi sebenar atau punca pencemaran berkenaan, namun ia disahkan dari kawasan perindustrian.

"Semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan Negeri bekerjasama rapat untuk mengenal pasti 'dalang' yang menyebabkan pencemaran ini berlaku sehingga menjejaskan kualiti kehidupan rakyat di Selangor.

"Kita tidak boleh bertoleransi terhadap 'dalang' ini dan akan memburu mereka bagi memastikan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka," katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandantangani Perjanjian Jual Beli antara Asia Wisdom Investments Limited dengan Ranhill Water (Hong Kong) Ltd (RWHK) di sini, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira satu juta pengguna di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang mengalami gangguan bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan pencemaran yang berlaku.

Kawasan mengalami gangguan bekalan air sementara ketika ini adalah daerah Hulu Langat meliputi Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching; daerah Kuala Langat meliputi Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Sementara daerah Petaling termasuk mereka yang tinggal di USJ 1-27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang manakala daerah Sepang meliputi Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 7:02 PM