ANTARA babak dalam Rogue One.

Meskipun filem Star Wars: The Force Awakens mencipta fenomena luar biasa tahun lalu, Disney enggan meletakkan harapan tinggi terhadap Rogue One: A Star Wars Story yang bakal menemui peminat hujung tahun ini.

Ketika menghadiri persidangan Goldman Sachs minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Walt Disney Bob Iger mengakui kurang yakin terhadap pencapaian Rogue One apabila ditayangkan kelak.

“Rogue One menerima sambutan baik daripada peminat cuma pihak kami berasakan filem ini mungkin sukar meraih kejayaan seperti diraih The Force Awakens,” katanya.

Mengisahkan sekumpulan individu mencuri pelan pembinaan Death Star, Rogue One dilaporkan berdepan pelbagai cabaran sejak tiga bulan lalu.

Menurut The Verge, ketika persidangan Star Wars Celebration pengarah Gareth Edwards mengumumkan perancangan menghasilkan filem barunya yang diinspirasikan daripada filem Saving Private Rayan.

Pengumuman itu sekali gus menyebabkan penonton teruja memandangkan kisah Saving Private Rayan berakhir dengan penuh tragis.

Pada masa sama, pengambaran Rogue One terpaksa diolah semula secara besar-besaran dan pembikin filem Tony Gilroy dilaporkan turut membantu menyiapkan filem itu.

Berikutan itu, banyak perubahan dilakukan dan Disney dikhabarkan kurang berpuas hati dengan hasil jalan cerita Rogue One yang dikatakan agak suram.

Justeru, ‘amaran’ Iger terhadap pencapaian Rogue One masuk akal.

Memaparkan jalan cerita dan barisan pelakon berbeza daripada The Force Awakens, Rogue One lebih fokus kepada watak antagonis, Darth Vader dan bukan keluarga Skywalker.

Siri baru Star Wars

Dalam perkembangan lain, Iger mengesahkan pembikinan siri filem ketiga Star Wars dijangka menemui peminat pada 2020.

Menurutnya, Disney sudah melantik seorang penulis untuk menghasilkan skrip namun tidak mendedahkan identiti individu itu.

Iger berkata siri itu akan menyusul selepas filem mengisahkan Hans Solo ditayangkan pada Mei 2018.

Selain itu, kesinambungan Force Awakens diteruskan dengan Star Wars Episode Eight diikuti Nine yang masing-masing dijangka ditayangkan pada 2017 dan 2019.

Kata Iger lagi, dia sudah bertemu wakil Lucasfilm, Kathleen Kennedy bagi membincangkan hala tuju Star Wars selepas 2021. - Michelle Gun

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 11:07 AM