LEBIH 25,000 penonton membanjiri perkarangan Padang Merdeka.
KONSERT Era Rock Sarawak 2016 dapat sambutan hangat meskipun padang lecak.
AFICK (kiri) dan Fir sebagai pengacara bersama tiga lagi penyampai Era FM Srawak.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Lebih 25,000 penonton membanjiri Padang Merdeka Kuching, Sarawak untuk menyaksikan Konsert Era Rock Sarawak 2016 (KERS) yang menampilkan lima band popular serta seorang penyanyi legenda tanah air, Sabtu lalu.

Konsert anjuran ERA FM Sarawak itu adalah acara terbesar stesen radio terbabit di Bumi Kenyalang tahun ini.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada pendengar yang terus setia bersama ERA FM sepanjang enam tahun beroperasi di negeri itu.

Kehadiran Akim & The Majistret, Projector Band dan Mus May antara yang dinanti ramai. Konsert dihangatkan lagi dengan persembahan band popular Hyper Act, Kristal dan Sonar Instinct.

Pentas dibuka dengan persembahan bertenaga lima penyampai radio Era FM Sarawak iaitu Fir, Osha, Syazz, Afick dan Chopie dengan membawa lagu tema KERS bertajuk Rock Era. Mereka turut bertindak selaku pengacara pada malam terbabit.

Acara diteruskan dengan persembahan band dari Sarawak, Sonar Instinct menampilkan medley rock berbahasa Inggeris serta single Kopi Malam.

Konsert berdurasi tiga jam diteruskan kumpulan Kristal dengan lagu Memburu Impian, Delaila, Seragam Hitam serta sebuah lagu baru. Sebagai kumpulan paling otai dalam konsert ini, sorakan penonton kuat bergema.

Pentas kemudian diserahkan kepada Projector Band yang menyampaikan lagu Opera Hidup dan Sudah Ku Tahu. Majoriti penonton turut sama menyanyikan lagu berhantu band itu.

Projector Band turut mengambil peluang mempersembahkan lagu terbaru berjudul Pasti Ada kamu buat pertama kalinya depan khalayak.

Konsert dihangatkan lagi dengan persembahan Hyper Act menerusi lagu Hanya Aku dan Takkan Pergi.

Kemunculan Mus May membuatkan penonton seakan-akan ‘histeria’ dan rata-rata bersorak keriangan.

Persembahan penuh bertenaga Mus yang menyampaikan lagu Cintamu Mekar Di Hati mendapat tepukan gemuruh penonton sekali gus membuktikan otai itu masih berbisa.

Kemuncak konsert malam itu, tidak lain tidak bukan kemunculan kumpulan Akim and The Majistret. Membawa lagu Terlalu Mudah, Mewangi, Potret dan Obses membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat masing-masing meskipun jam menunjukkan 11.30 malam.

Suasana menjadi lebih gamat apabila band itu secara eksklusif memperdengarkan lagu baru buat pertama kalinya di hadapan peminat berjudul Lygophobia. Ternyata, kejutan ini memberi kepuasan maksimum kepada peminat.

Sebagai penutup tirai, Akim berduet dengan Mus May dan menerima sorakan padu daripada penonton yang berpuas hati dengan pengisian konsert malam itu.

Meskipun padang lecak, penonton tetap bersemangat menonton konsert dari mula hingga selesai. Bahkan ia meninggalkan kesan manis buat semua yang menyaksikan persembahan barisan artis terkenal tanah air.

KERS 2016 adalah konsert percuma anjuran Era FM Sarawak dan genre rock menjadi pilihan kerana ia mendapat permintaan paling tinggi di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 10:17 AM