ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi imigresen di Pasar Borong Selayang.
Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang wanita warga asing berusia 40-an sanggup berpura-pura dirasuk hantu bagi mengelak diberkas anggota Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya dalam operasi bersepadu di empat lokasi sekitar Selayang dan ibu kota.

Dalam operasi Ops Ikrar bermula jam 11.30 malam Jumaat lalu, seramai 474 warga asing membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, M Saravana Kumar berkata, lebih 1,000 warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an diperiksa termasuk di Pasar Borong Selayang susulan aduan masalah kebanjiran warga asing.

“Ketika serbuan di pasar borong berkenaan, peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram cuba lari menyelamatkan diri sehingga ada antara mereka merempuh tong ikan dan ayam di dalam pasar berkenaan.

“Menyedari kawasan serbuan itu agak luas, anggota penguatkuasa operasi sudah ditugaskan mengepung lokasi berkenaan lebih awal bagi memastikan warga asing itu tidak berjaya meloloskan diri,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 8:21 AM