Pengemis yang meminta sedekah di sekitar Klang. - Foto Fail
BERNAMA

Klang: Sifat prihatin dan simpati rakyat Malaysia menyebabkan wujudnya golongan yang menggunakan taktik mengemis atau meminta derma kononnya untuk institusi agama.

Sehubungan itu, masyarakat, terutama di Selangor disaran tidak memberi sumbangan kepada pengemis atau peminta derma dari institusi agama di jalanan kerana dikhuatiri mereka dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Wan Zarina Wan Salleh berkata, pemantauan jabatan itu mendapati gejala mengemis warga tempatan atau peminta derma dari institusi agama semakin meningkat, selain pengemis warga asing.

"Masyarakat dinasihat kumpul maklumat daripada peminta derma institusi agama ini dan membuat pengesahan dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya selepas merasmikan Kempen Anti Pengemisan 'Bijak Membantu, Elak Tertipu' di sini, hari ini.

Menurut Wan Zarina, banyak institusi kebajikan berdaftar dengan kerajaan yang amat memerlukan sumbangan orang ramai dan senarai itu boleh didapati daripada agensi terbabit serta JKM sendiri sumbangan dapat disalur kepada pihak yang betul.

Beliau berkata, 418 pengemis terdiri daripada 191 warga tempatan dan 227 warga asing diselamatkan dalam operasi JKM Selangor di seluruh negeri bermula Januari hingga Ogos lalu.

Katanya, antara tindakan diambil terhadap pengemis tempatan ialah dihantar ke institusi kebajikan, dikembalikan kepada keluarga, dirujuk ke hospital bagi kes pengemis sakit atau dibebaskan dengan amaran.

"Bagi pengemis warga asing pula, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 9:37 PM