REAKSI kecewa penyokong Harimau Malaya menonton siaran langsung final pertama Piala AFF 2014 selepas Malaysia tewas 2-0 malam ini. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Aziman Rosdi dan Nurulhuda Kosnon
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyokong Harimau Malaya menuntut barisan kebangsaan dan jurulatih negara, Dollah Salleh perah kudrat sehabis mungkin apabila melayani kunjungan Thailand pada pusingan kedua final Piala AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Biarpun masih bersepah memberikan tanggapan kurang enak di laman sosial seperti di Facebook terhadap kekalahan 2-0 Malaysia di tangan Thailand, masih ramai yang memberikan kata semangat buat barisan kebangsaan untuk meneruskan perjuangan.

Rakan FB Harian Metro, Ahmad Gani berkata: “Jangan mudah mengalah atas kekalahan tadi. Kuatkan semangat. Buat la ia satu iktabar untuk pusingan ke-2. Perbaiki segalah kesilapan. Terima kasih atas perjuangan Harimau Malaya. Bangun terus bangun”.

Mohd Sah Bin Harapan berkata: “Biar kalah..Malaysia tetap pilihan. Cuba lagi di Bukit Jalil.”

Muhammad Yusof Zakaria pula: “Kalah ke menang sokong je negare kite. Bg le peluang kt dollah tu. Nk terus naek je mane mau. Van gal pun mule pegang mu pun bukan leh menang. Dah lame tgok cm ne. Boleh pun. Sabtu ni pun ad lg. Sabar, sabo, sabaq, tenang.”

Kata Alymm Yusoff: “HAH NANTI kat Bukit Jalil korang tengok. Kat bukit Jalil...hah Malaysia 1000000-1 Thailand.”

Shima Riki, 20, berkata, mungkin semangat penyokong Thailand membolehkan skuad Gajah Perang itu menang di tempat sendiri.

"Pada perlawanan sebelum ini, perkara sama berlaku tapi saya pasti Harimau Malaya mampu menebus kekalahan," katanya.

Mohd Hafiz Syafie, 22, berkata dia berharap Harimau Malaya meneruskan perjuangan untuk meraih kemenangan pada perlawanan akhir pusingan kedua, Sabtu ini.

Sementara itu, di BANGKOK, tugas sukar diibaratkan menanti Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan Piala AFF 2014 apabila tewas 0-2 di tangan Thailand pada pertembungan final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, malam ini.

Ia kekalahan kedua anak buah Dollah Salleh kepada pasukan pilihan itu selepas aksi peringkat kumpulan di Singapura dan mereka tiada pilihan selain bangkit di Kuala Lumpur pada final kedua Sabtu ini.

Seperti yang dijangka Dollah tidak membuat sebarang rombakan apabila mengekalkan kesebelasan utama ketika menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua di Hanoi, minggu lalu.

Dollah mengekalkan Norshahrul Idlan Talaha bergandingan dengan Indra Putra Mahayuddin di jentera serangan manakala Shukor Adan kekal sebagai kapten walaupun dia dikatakan cedera menjelang perlawanan.

Walaupun beraksi di depan lebih 45,000 penyokong tuan rumah, Harimau Malaya lebih mengancam dengan dua asakan awal menerusi tandukan Mohd Amri Yahyah dan sepakan Norshahrul namun diselamatkan penjaga gol Kawin Thamsatchanan.

Thailand yang memburu kejuaraan keempat selepas tewas tiga final pada 2007, 2008 dan 2012 turut berpeluang mendahului permainan menerusi percubaan penyerang Adisak Kraisorn pada minit ke-42, namun gagal menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias dalam situasi satu lawan satu.

Pasukan tuan rumah yang dikendalikan Kiatisuk Senamuang menguasai sepenuhnya permainan pada babak kedua dan memperolehi gol menerusi sepakan penalti Charyl Chappuis pada minit ke-72.

Gajah Perang kemudian selesa dengan jaringan kedua Kroekrit Thawikan pada minit ke-86.

Malaysia masih berpeluang menjuarai Piala AFF buat kali kedua selepas 2012 jika berjaya mengatasi defisit gol itu pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:59 PM