HAFIZH (kiri) gagal bertindak baik di litar kegemarannya.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas konsisten menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik pada tiga pusingan terdahulu, pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah hanya mampu menamatkan perlumbaan Grand Prix Aragon di tempat ke-14, semalam.

Meskipun hanya meraih dua mata, penunggang PETRONAS Raceline Malaysia itu tetap berpuas hati selepas mengambil kira beberapa masalah yang dihadapinya seperti tayar bergegar sejak sesi latihan bebas.

Jelas Hafizh, bukan dia saja berdepan masalah itu tetapi pelumba handalan seperti Johann Zarco dan Alex Rins turut bergelut sepanjang minggu ini.

“Walaupun GP Aragon adalah antara litar kegemaran saya tapi kadangkala saya tidak dapat melakukan yang terbaik kerana berdepan beberapa masalah termasuk jentera.

“Kadangkala pula di litar yang kurang saya gemari, dapat meraih keputusan lebih baik. Inilah perlumbaan dan sebagai pelumba saya perlu menerimanya.

“Walaupun agak kecewa sedikit, tapi sekurang-kurangnya saya dapat meraih dua mata dan saya akan cuba meraih keputusan lebih baik pada perlumbaan seterusnya di GP Jepun,” katanya.

Hafizh berkata demikian ketika ditemubual menerusi aplikasi Skype bersama 200 penyokong Malaysia yang menyaksikannya secara langsung di hadapan kedai PESCAO55 Concept Store.

Turut hadir pada acara itu adalah pengurus pasukan Barry Leong.

Selepas 14 pusingan, Hafizh kekal menduduki tempat kelapan kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 103 mata.

Sementara itu, dua pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi serta Adam Norrodin gagal mengutip sebarang mata.

Khairul yang beraksi bersama pasukan Honda Team Asia, sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-22 selepas bermula di petak ke-27 sementara Adam (SIC Racing Team) di kedudukan ke-23.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:14 AM