PEMAIN THT Nicolas Della Torre (kiri) melakukan percubaan di depan gawang Sapura.

Kuala Lumpur: Dominasi berterusan dilakar Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Sapura 3-0 semalam.

Kejayaan itu juga bermakna THT berjaya meraih kejuaraan berganda tiga tahun berturut-turut sejak 2014 selepas turut berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas sehingga menyaksikan THT dihadiahkan pukulan sudut penalti minit kedua tetapi ia gagal menghasilkan gol.

eminit kemudian, giliran Sapura memperoleh pukulan sudut penalti tetapi mereka juga gagal memanfaatkan peluang terbaik itu.

Kerja keras THT akhirnya membuahkan hasil apabila tonggak import Jang Jong Hyun menghadiahkan jaringan pertama selepas menguis masuk hasil pukulan sudut penalti minit keenam.

Nicolas Enrique Della Torre menyumbang gol kedua selepas menolak masuk bola dari sudut sukar ke penjuru kiri gawang gol lawan.

Minit ke-36 menyaksikan penyerang sensasi Faizal Saari berpeluang untuk menambah gol ketiga THT apabila berjaya meloloskan diri, namun cubaannya terkena tiang gol.

Jong Hyun menambah gol kedua peribadi sekali gus ketiga untuk THT selepas menguis masuk hasil pukulan sudut penalti minit ke-51.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:13 AM