Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan tujuh lelaki disyaki pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM180,000.

Mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan menerusi Ops Tapis bermula Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dua lelaki berusia 18 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan pertama di Kampung Chica, Kubang Kerian pada 10.30 malam, Rabu lalu.

Katanya, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas sebungkus plastik yang mengandungi 178 pil kuda, tujuh bungkus plastik daun ketum seberat satu kilogram dan tiga botol kecil berisi cecair kehitaman disyaki kodein 0.0270 liter yang bernilai RM3, 620.

"Operasi seterusnya, kita menahan pengedar berusia 23 tahun di rumah di Pasir Tumboh, 3.20 pagi, Khamis lalu.

"Polis merampas satu bungkusan plastik dan tiga bungkusan kertas mengandungi 8,400 pil kuda dianggarkan bernilai RM168,000 yang disembunyikan atas bumbung garaj kereta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Menurutnya, serbuan ketiga hari sama, polis menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 42 tahun di Kampung Pintu Geng, di sini, pada 11.30 pagi.

Katanya, polis dan merampas 53 pil eramin 5, 10 pil WY, lima botol cecair kehijauan, 13 bungkusan plastik disyaki ketum 17.39 liter dan dua botol plastik berisi cecair disyaki kodein bernilai RM1,185.

"Serbuan seterusnya, kita menahan lelaki berusia 26 tahun di Jalan Kubor Maras, 3.15 petang dan merampas satu paket plastik mengandungi 200 pil kuda bernilai RM4,000.

"Kemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1), 12(2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 6:23 PM