Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Nilai: Lelaki yang pengsan di dahan pokok doa di Bayu Lake Homes, Mantin, pagi ini, disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata arwah Nik Abdul Rahman Mohd Nor, 59, meninggal dunia kerana serangan jantung.

Menurutnya, arwah memanjat pokok setinggi empat meter di hadapan rumah jirannya itu untuk memotong dahan sebelum ditemui pengsan di dahan pokok oleh orang ramai.

Katanya, pihaknya menerima maklumat kejadian, pada 9.30 pagi.

“Anggota bomba membantu menurunkan mangsa dan dibawa balik ke rumahnya dekat lokasi kejadian.

“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Mantin membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban. Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:50 PM