Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan bersedia mewartakan peraturan larangan kenderaan berat melalui kawasan sekolah.

sekurang-kurangnya dua jam ketika waktu puncak dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan murid dan pelajar.

Ini termasuk kemalangan di depan sekolah di Bagan Serai, Perak; Dungun, Terengganu dan Alor Gajah, Melaka.

Pada 20 September, murid SK Santong Paka, Dungun, maut dirempuh kereta di KM7.8 Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), pada 7.10 pagi.

Allahyarham Muhammad Syamil Harun, 10, yang menetap di Kampung Santong meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada 21 September, murid lelaki maut dirempuh lori membawa muatan makanan ayam di depan SK Teluk Medan, Bagan Serai, pada 7.20 pagi.

Allahyarham Mohammad Haikal Helme, 10, dari Kampung Parit Gabis Atas di sini, maut di lokasi kejadian.

Pada 22 September, murid perempuan tahun satu parah dilanggar kereta di di depan SRK Pegoh.

Allahyarham Hani Harizah Hafizal, 7, parah dan dirawat di ICU Hospital Melaka.

Bagaimanapun, arwah meninggal dunia di Wad Pembedahan Kanak-Kanak HM, pada 2.55 petang, 23 September.

Ab Aziz berkata, cadangan dikeluarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu akan diteliti secara holistik dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Sekiranya peraturan ini dapat mengurangkan kes kemalangan di kawasan sekolah, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan segera.

“Kita tidak mahu lebih ramai murid dan pelajar menjadi mangsa akibat kecuaian pemandu-pemandu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di Kampung Parit Paimin, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:21 PM