FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Nilai: Lelaki ditemui pengsan di dahan pokok kira-kira 30 minit sebelum dibawa turun anggota bomba dalam kejadian di Bayu Lake Homes, Mantin, di sini, hari ini.

Nik Abdul Rahman Mohd Nor, 59, dikatakan memanjat pokok di hadapan rumah jirannya untuk memotong dahan sebelum ditemui oleh orang ramai, pada 8.30 pagi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Zakaria Jabar, berkata satu jentera dengan kekuatan enam anggota ke lokasi sebaik menerima panggilan.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati mangsa tersangkut pada dahan pokok dalam keadaan terkulai.

"Anggota memanjat pokok itu dan memerlukan kira-kira 10 minit untuk menurunkan mangsa dengan cara memikul.

“Dia kemudian diserahkan kepada ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca mangsa pengsan masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 1:16 PM