SEBUAH ambulans musnah dalam serangan yang turut menyasarkan pejabat kumpulan Pertahanan Awam Syria di timur Aleppo, semalam. - AP
Agensi

Aleppo: Tentera Syria dengan bantuan pesawat Russia semalam menghujani bandar ini dengan bom dan peluru berpandu, menyebabkan kemusnahan besar ketika pasukan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad berseiap sedia melancarkan serangan untuk menawannya.

Serangan tanpa henti itu, termasuk penggunaan meriam dan bom tong yang digugurkan dari helikopter membawa penderitaan baru kepada kira-kira 250,000 orang awam yang terperangkap dalam kepungan tentera.

Serangan berkenaan dilancarkan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry gagal mencapai kata sepakat dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov untuk menyelamatkan gencatan senjata.

Saksi di timur Aleppo, kawasan yang dikuasai kumpulan penentang berkata, pengeboman berlaku sepanjang malam hingga ke pagi.

Di daerah Al-Kalasseh, tiga bangunan runtuh dalam satu serangan. Pekerja penyelamat berusaha sedaya upaya untuk mencari mangsa yang tertimbus dengan hanya menggunakan sebuah jentolak dan tangan kosong.

Sementara itu, pejabat kumpulan sukarelawan yang dikenali White Helmet di daerah Ansari juga rosak teruk. Ambulans dan kereta bomba milik mereka juga musnah.

Tidak cukup dengan itu, serangan tentera Syria dan Russia juga menyasarkan sebuah lagi pejabat kumpulan berkenaan.

Kumpulan pemerhati hak asasi Syria berkata, setakat ini 10 orang disahkan mati, dua daripadanya kanak-kanak.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat kerana ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Serangan besar-besaran itu dilakukan selepas tentera Syria mengumumkan rancangan menawan semula timur Aleppo yang dikuasai penentang sejak pertengahan 2012.

Satu sumber peringkat tinggi tentera mengesahkan, serangan itu adalah persiapan untuk melancarkan serangan darat.

“Serangan darat akan dilancarkan, bergantung kepada hasil serangan udara dan keadaan di kawasan itu,” kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:52 AM