SANTAI untuk acara minum petang.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Semuanya bermula pada 2014 apabila pelakon drama dan filem, Ainul Aishah merancang mempunyai jenama sendiri.

Namun disebabkan kekurangan modal ketika itu, penjualan busana di bawah jenama Alove terpaksa dihentikan seketika.

Segalanya berubah pada 2016 apabila pemilik laman sesawang Starporium datang bertemu dengannya dan menyatakan hasrat untuk menjadi rakan perniagaan.

Peluang ini amat dinanti-nantikan, membuatkan wanita ini memberanikan diri memulakan kempen untuk jenama Alove semula dengan menjual seluar sebagai langkah permulaan.

Sebagai individu yang kurang mahir dalam rekaan, Ainul mengambil masa tiga bulan untuk menentukan rekaan, gaya, warna dan fabrik sesuai.

“Alove mengambil inspirasi daripada karakter saya sendiri. Oleh itu dari segi potongan ia memperlihatkan gaya ringkas namun kekal menawan,” katanya yang mengetengahkan rekaan asas dengan seluar longgar berlapis.

Jelas Ainul, bagi mengekalkan rekaan agar tampil kemas dan menarik, dia ba­nyak membuat kajian fesyen luar negara kemudian digabungkan dengan minat dalam bidang fesyen.

Apa yang ditampilkan ialah satu gaya ringkas, moden menggunakan rona pastel bagi memperlihatkan gaya wanita moden masa kini.

“Sejak berada di pasaran ramai pelanggan mengakui selesa dengan potongan ditampilkan, fabrik yang lembut dan tidak panas serta memudahkan pergerakan terutama untuk wanita berkerjaya. Mungkin kami perlu memperbaiki ukuran panjang seluar dan membuat ukuran lebih tepat,” katanya.

Ia hadir dalam pelbagai warna yang pastinya disukai ramai wanita antaranya hitam, biru diraja, merah bata, krim dan kelabu manakala fabrik digunakan ialah poliester crepe kerana lembut dan beralun cantik ketika digayakan.

Seluar Alove sesuai digayakan ke mana saja, sama ada kasual, formal, untuk makan malam atau dipakai ke pejabat. Apa yang penting wanita harus bijak memadankan dengan busana sesuai.

“Mereka boleh memilih untuk memadankan de­ngan blaus singkat atau labuh, kemeja-T atau kemeja juga sesuai untuk wanita berhijab kerana longgar dan tidak jarang,” jelasnya.

Pada masa depan, Ainul berharap dapat menambah koleksi busana seperti gaun, blaus, baju kurung dan juga barang dekorasi rumah. Berkonsepkan bohemian chiks, Ainul bercadang melangkah lebih jauh ke hadapan dengan membuka butik sendiri di Malaysia dan luar negara.

Untuk maklumat lanjut boleh mengunjungi butik terpilih Pret-a-porter bertempat di G Village, Desa Pandan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:02 AM