Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my


Seremban: Pembantu penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, kerana memalsukan Borang Pemeriksaan Kebun dan Penyelewengan Skim Tanaman Semula Sawit, empat tahun lalu.

Mohd Azhar Mohd Arif, 50, terpaksa didakwa di Hospital Salam, Senawang, di sini kerana mendapatkan rawatan jantung, sejak kelmarin.

Mohd Azhar mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan borang pemeriksaan empat kebun dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM56,820 di ladang Daerah Kuala Pilah, Mukim Ulu Jempol pada 15 Februari, 19 Mac, 20 Mac dan 20 Jun 2012.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Fathiyah memberikan jaminan RM10,000 dan menetapkan 24 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 3:16 PM