HASNAN (kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee menunjukkan pistol yang digunakan penjenayah. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang daripada empat penjenayah yang ditembak mati polis di Jalan Ampang, Tambun, Ipoh, 10.50 malam tadi adalah ketua kumpulan Don Tiger dan amat dikehendaki polis.

Dalam kejadian berbalas tembakan itu, keempat-empat penjenayah berusia 20 hingga 30 tahun termasuk ahli kumpulan itu ditembak mati polis di dalam kereta dinaiki mereka.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, polis terserempak dengan kereta dinaiki empat penjenayah yang dipercayai terbabit dengan jenayah kekerasan seperti samun itu di Jalan Besar Tanjung Rambutan dan cuba menahannya.

Katanya, ketika cuba menahan kereta berkenaan, polis terdengar letupan dan percikan api dipercayai tembakan dilepaskan terlebih dahulu kumpulan itu sebelum kumpulan itu memecut ke arah Jalan Ampang, Tambun.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudiannya merempuh kenderaan polis yang cuba memintasnya sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu jalan.

"Ketika anggota cuba menghampiri kenderaan suspek, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah polis dan polis kemudiannya membalas tembakan itu bagi mempertahankan diri menyebabkan keempat-empat suspek maut manakala tiada anggota polis tercedera.

"Seorang daripada suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi kenderaan dan lain-lain jenayah manakala seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah samun dan dua lagi dikehendaki dalam beberapa kes samun kenderaan mewah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Hasnan berkata, polis turut merampas kereta dinaiki suspek, pistol automatik jenis Remington Colt 45, empat butir peluru hidup serta kelongsong, satu pistol angin, dua parang, satu set plat kenderaan, satu plastik lutsinar disyaki dadah, peralatan menghisap dadah dan beberapa barangan lain.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kumpulan berkenaan terbabit dengan tujuh kes samun, cubaan bunuh polis trafik pada 2 Disember 2015, ugutan dengan senjata api, curi kenderaan, pecah rumah dan gaduh.

Berita berkaitan:

Empat penjenayah tersungkur

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 1:40 PM